Seorang wanita bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh beliau
setelah melahirkan anak secara normal. Beliau mengalami sakit di hujung
tulang belakang (tulang ekor) yang berlarutan beberapa minggu. Akibat
daripada ketidakselesaan dan kesakitan ini, beliau tidak dapat melakukan
kerja-kerja rumah dengan sempurna.
Kehamilan dan melahirkan anak
adalah proses fisiologi yang normal. Wanita yang hamil dan melahirkan
anak bukanlah dianggap pesakit. Namun begitu proses yang normal ini
adakalanya mendatangkan kemudharatan diri. Oleh itu banyak perkara yang
perlu diambil perhatian dalam kedua-dua proses ini.
Salah satu
punca kesakitan pada tulang ekor (coccyx) ialah PROSES KELAHIRAN ANAK.
Kesakitan pada tulang ekor ini dinamakan coccydynia. Ia kerap berlaku
pada kelahiran normal melalui faraj.
Tulang ekor (coccyx) ialah
sekumpulan tulang yang terakhir pada tulang belakang kita. Ia mempunyai
5 tulang yang berbeza. Adakalanya tulang-tulang ini bercantum menjadi 2
atau tiga segmen. Ia dicantumkan pada tulang belakang yang lebih besar
oleh ligamen, yang membenarkan pergerakan antara tulang belakang dan
tulang coccyx.
Ketika melahirkan bayi, bayi dikeluarkan melalui
saluran peranakan (rahem dan faraj). Pergerakan bayi dari rahem ke luar
melalui faraj memberikan tekanan fizikal pada tisu di sekeliling.
Tekanan ini boleh menyebabkan bengkakan dan koyakan pada tisu-tisu
tersebut.
Jika tekanan itu terlalu kuat, ia boleh menyebabkan
tulang coccyx terseliuh (dislocate). Dalam kes yang jarang berlaku ia
boleh menyebabkan tulang coccyx ini patah. Dalam kes-kes yang agak
ekstrem, tulang yang patah boleh menusuk ke saluran dubur dan
menyebabkan pendarahan.
Selalunya wanita yang sedang sakit ketika
proses melahirkan tidak perasan tulang coccyxnya patah. Ini kerana
kesakitan ketika melahirkan lebih kuat dari kesakitan akibat patah
tulang coccyx. Setelah beberapa hari, barulah sakit di bahagian hujung
tulang belakang dapat dirasakan. Walaubagaimanapun kadang-kala patah
tulang coccyx dapat dikesan ketika lahir apabila terdengar bunyi seperti
ranting yang patah.
Oleh itu wanita yang hamil anak yang bersaiz
besar dinasihatkan menjalani pembedahan Caeserean kerana fizikal yang
besar boleh menyebabkan tulang coccyx tercedera. Begitu juga jika bayi
dilahirkan secara songsang. Proses kelahiran yang sukar akan memudahkan
kecederaan ini.
Adakalanya wanita yang hamil itu sendiri
mempunyai tulang coccyx yang tidak normal. Kelima-lima tulang itu
mungkin bercantum menjadi satu dan melekat pada tulang belakang
menyebabkan ia tidak boleh lagi bergerak bagi memberikan laluan ketika
ketika bayi dilahirkan. Ia mudah patah atau terseliuh apabila wanita
meneran bayi keluar.
Wanita yang pernah mengalami kecederaan
tulang coccyx perlu memberitahu doktor yang menyambut kelahiran bayi
bagi mengelakkan kerosakan tulang tulang coccyx lebih teruk. Kecederaan
tulang coccyx biasa berlaku pada wanita yang agak obese dan terjatuh
dari tangga dengan posisi duduk. Hentakan pada tulang coccyx menyebabkan
tulang itu cedera. Sekiranya wanita itu hamil dan melahirkan bayi
bersaiz besar, ia akan menyebabkan kecederaan pada tulang coccyx ini
bertambah teruk .
Kesakitan akibat kecederaan tulang ini semasa
proses kelahiran selalunya ditanggung beberapa minggu terutama apabila
ketika duduk atau berubah posisi dari bangun ke posisi berdiri.
Kesakitan ini membuatkan pesakit tidak dapat melakukan kerja rutin
seharian dengan baik.
Saya menasihatkan wanita yang mengalami
kesakitan pada tulang coccyx akibat melahirkan anak harus berjumpa
doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan fizikal dan xray akan dilakukan
untk mengesahkan kerosakan pada tulang coccyx. Selalunya kecederaan
sebegini akan pulih dalam masa beberapa minggu. Kebiasaannya 6 hingga 8
minggu.
Saya merasa simpati jika musibah ini berlaku pada wanita
yang melahirkan. Tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali doktor akan
memberikan ubat penahan sakit sama ada berbentuk tablet atau suntikan.
Pembedahan tidak membantu kecuali mengeluarkan tulang yang patah.
Pembedahan bukanlah rawatan terbaik kerana banyak ligament dan otot yang
melekat pada tulang coccyx ini. Ia boleh membawa komplikasi yang lebih
teruk.
Saya menasihatkan wanita yang hamil banyaklah berdoa agar
proses kehamilan dan kelahiran anak mereka dipermudahkan. Banyak doa-doa
dari hadis yang sahih boleh diamalkan. Jika susah untuk berdoa dalam
bahasa Arab, berdoalah dalam bahasa yang mudah difahami.
Contoh doa yang boleh diamalkan ialah :
“Ya Allah, peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku
dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penawar
melainkan penawar-Mu, penawar yang tidak meninggalkan penyakit.
Ya Allah, Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan
tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.
Ya Allah, zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat .
Ya Allah anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna, berakal dan bijaksana, alim dan beramal.
Ya Allah, panjangkanlah umurnya dalam ketaatan, sihatkanlah tubuh
badannya, dan indahkanlah akhlaknya, fasihkanlah lidahnya, perelokkanlah
suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad
s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam .”
Selain
dari menggunakan ubat penahan sakit,
banyakkan rehat dan boleh tuamkan
ice pack pada kawasan itu beberapa kali untuk mengurangkan bengkakan dan
sakit.
Ketika tidur, posisi yang sesuai ialah berbaring
mengiring untuk mengurangkan tekanan pada punggung dan tulang coccyx.
Bagi mengurangkan kesakitan ketika dalam posisi duduk, boleh gunakan
bantal berbentuk doughnut supaya tulang coccyx tidak menekan pada
lantai.
Berendam dalam kolam air panas atau dalam tab mandi boleh
membantu merehatkan otot-otot pelvis yang melekat pada tulang coccyx
itu. Jika tidak dapat, berendamlah dalam basin (warm sitzbath) bagi
mendapat faedah ini.
Pesakit harus menjaga pemakanan bagi
mengelakkan sembelit. Sembelit akan menyebabkan kesakitan yang lebih
teruk pada tulang coccyx yang tercedera. Pastikan banyak minum air dan
makan makanan yang banyak serat bagi mengelakkan sembelit.
Bagi
kehamilan seterusnya, pesakit harus memberitahu doktor masalah yang
dihadapinya. Saya percaya doktor akan mencadangkan pembedahan Ceserean
bagi mengelakkan kecederaan tulang coccyx berulang. Namun haruslah
berbincang pro dan kontra sebelum memilih cara kelahiran itu nanti.
Wallahu a’lam.
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (061011)
Oleh itu penggunaan BENGKUNG yang panjang ke punggung dan ketat amatla digalakan, tidak kisahla bengkung jenis tradisional ataupun moden.
Rupa Sebenar Bengkung Nur panjangnya dari bawah dada ke paras pinggul
Bengkung Bahian Pinggul Sahaja
Keadaan Tulang Pinggul sebelum dan selepas pemakaian Bengkung.
Dapatkan Bengkung Moden Bengkung Nur Sekarang
Rujukan:
Foye P, Buttaci C, Stitik T, Yonclas P (2006). “Successful
injection for coccyx pain.”. Am J Phys Med Rehabil 85 (9): 783–4.
Kim NH; Suk KS] (1999 Jun). “Clinical and radiological differences
between traumatic and idiopathic coccygodynia”. Yonsei Medical Journal
(40:3).
Postacchini F, Massobrio M] (Oct 1983). “Idiopathic
coccygodynia. Analysis of 51 operative cases and a radiographic study of
the normal coccyx”. The Journal of bone and joint surgery (65(8)).
Sumber web :
http://drzubaidi.com/blog/?p=2135